Admin On Ahad, 18 Januari 2015



Cyberjaya: Belum habis lagi kesakitan ditanggung selepas menjalani rawatan di hospital, terpaksa pula berdepan satu lagi penderitaan apabila dibuang anak saudara sendiri.

Tidak cukup dengan itu, rumah yang menjadi hartanya kini menjadi milik anak saudaranya manakala dia hanya menghabiskan sisa hidup dan menagih kasih sayang bersama rakannya yang lain di sebuah pusat jagaan.

Kesengsaraan dan penderitaan itu dihadapi sendiri Leha iaitu seorang daripada penghuni Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Pulau Meranti, dekat sini.

Wanita berusia 70-an dan tidak pernah berkahwin mendakwa, kehadirannya di pusat jagaan berkenaan kira-kira tiga tahun lalu adalah berpunca daripada anak saudaranya.

“Dia (anak saudara) yang membawa makcik ke tempat ini dan pada mulanya, makcik langsung tidak tahu di mana tempat ini. Tidak lama kemudian iaitu selepas tinggal di sini, baru makcik tahu rumah jagaan ini terletak di Puchong.

“Memang jika diikutkan hati saya mahu balik dan pulang ke rumah. Tapi, makcik pun tidak tahu bila boleh keluar,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Leha berkata, dia datang ke pusat jagaan itu selepas menerima rawatan dan menjalani pembedahan di sebuah hospital di Ampang.

“Makcik mengalami kesakitan dan menjalani pembedahan kaki kiri. Selepas dibenarkan pulang, makcik dibawa anak saudara ke rumah jagaan ini dan bermulalah kehidupan makcik di sini sehingga sekarang.

Sumber - hmetro

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments