Popular Posts
- Home »
- Kemalangan , Setempat , Tragedi »
- ‘Tolong wei....tolong wei...Aku dengan Joe kemalangan ni'.
Admin
On Sabtu, 24 Januari 2015
Dalam kejadian jam 9.15 pagi, treler itu merempuh dua kenderaan lain sebelum menyeret kereta Honda Civic hingga terbakar menyebabkan Joeri Ramli, 34, rentung selepas tersepit dan gagal menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, rakannya yang duduk di sebelahnya, berjaya keluar menyelamatkan diri, tetapi parah akibat melecur di beberapa bahagian badan.
Pemandu treler jenis Volvo yang melarikan diri sejurus kejadian tidak cedera. Turut selamat kelindannya dan pemandu dua lagi kereta terbabit dalam kemalangan ngeri itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, siasatan awal mendapati Joeri bersama seorang rakan dalam perjalanan dari Ipoh ke Gerik, atas urusan kerja manakala treler itu dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang ke Pulau Pinang.
Menurutnya, mangsa yang maut berasal dari Bagan Serai, manakala rakannya dikenali sebagai Muhammad Nasrullah Abd Ghaffar, 29, tinggal di Ipoh dan kedua-duanya bekerja sebagai pemungut hutang syarikat penapis air.
“Siasatan mendapati ada kerja naik taraf pemasangan lampu jalan dilakukan di KM 256.9 arah utara dan lorong kiri ditutup menyebabkan lalu lintas menjadi perlahan.
“Treler itu memandu di lorong kiri di kawasan menuruni bukit selepas laluan ditutup membawa muatan 60 tan barangan besi. Ia dipercayai mengalami kerosakan brek menyebabkan ia hilang kawalan dan memasuki laluan kanan sebelum merempuh kereta dinaiki mangsa serta dua lagi kenderaan lain.
“Dua kenderaan lain yang dilanggar treler berkenaan terbabas ke kiri laluan manakala kereta mangsa diseret sehingga KM 254.8 iaitu sejauh kira-kira satu kilometer sebelum terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Ghuzlan berkata, pemandu dan kelindan treler serta rakan mangsa sempat menyelamatkan diri manakala mangsa tersepit dalam kereta dipandunya dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat rentung.
“Kelindan treler yang berusia 39 tahun dan beralamat di Petaling Jaya, Selangor, mendakwa pemandunya dikenali sebagai Mohd Zaidi, 41, meninggalkan tempat kejadian sejurus kemalangan dan tidak dapat dihubungi.
“Polis menahan kelindan itu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Gambar kemalangan. |
Kronologi kemalangan. |
Inilah mesej daripada mangsa:
“Tolong wei...tolong wei...aku dengan Joe kemalangan ni...Joe dah meninggal...dah meninggal...Ya Allah..,” itulah mesej suara yang dikirim Muhammad Nasrullah Abd Ghaffar, 29, yang dikirim melalui WhatsApp kepada rakan serumahnya, Syawal Ibrahim, 25, yang berada di Ipoh, dekat sini.
KAWAN mangsa, Mohd Sharizal Mat Radi (kiri) dan Syawal menunjukkan rakaman suara dirakam oleh rakan mangsa yang terselamat. Gambar kecil, anggota bomba memeriksa kenderaan mangsa.
Syawal yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, di sini, semalam, berkata, dia amat terkejut mendengar mesej suara dikirimkan Nasrullah.
“Sebelum mereka keluar rumah, Joeri dan Nasrullah mengejutkan saya dari tidur memberitahu akan ke Gerik atas urusan kerja.
“Bagaimanapun kira-kira jam 9 pagi, saya menerima mesej suara dari Nasrullah itu memberitahu mereka terbabit kemalangan, malah memberitahu Joeri meninggal dunia,” katanya.
Muhammad Nasrullah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dekat sini.
Sementara itu, ibu mangsa, Sharifah Saad, 66, yang menghidap penyakit darah tinggi hampir pitam sejurus melihat mayat anaknya ketika pengecaman, namun berjaya ditenangkan ahli keluarga.
“Dia anak paling manja dengan saya berbanding enam adik-beradiknya yang lain. Saya reda dengan pemergiannya dan jenazahnya akan dikebumikan di sebelah kubur ayahnya di Kampung Depan Balai, Bagan Serai yang meninggal dunia juga pada bulan Januari 2011 akibat kanser usus,” katanya.
Ketika kejadian, Joeri yang bekerja di Sabah dengan syarikat penapis air sedang bercuti dan tinggal bersama rakan serumahnya itu sebelum berpindah kerja ke Perak bulan depan.
Menurut Sharifah, kali terakhir dia berjumpa dengan anak ketiganya itu pada Hari Raya Adil Adha, kira-kira dua bulan lalu.
Sumber - hmetro